06 May 2009



Pada 6.5.2009, saya telah diundang ke majlis 'Sepetang Bersama Penulis'. Hmm...sayalah penulisnya. Majlis ini telah diadakan di SMK Hang Kasturi, Melaka. Di dalam majlis ini peserta telah berkongsi pengalaman dengan penulis mengenai novel-novelnya yang terkini serta proses penulisan novel itu secara sepintas lalu. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah deklamasi sajak, tayangan slaid LCD dan membaca petikan novel. Usai acara ini maka telah diadakan sesi soal jawab. Antara soalan yang diajukan peserta ialah mengenai cara-cara menulis novel, royalti dan pembahagian masa untuk menulis. Pn Hayati Mawi selaku guru PSS berharap agar satu program dapat dijalankan oleh penulis iaitu 'cara-cara menulis novel'. Ibarat kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Terima kasih kepada pihak sekolah SMKHK, peserta dan Pn Hayati Mawi.

03 May 2009



Ini dia gambar penulis ngetop dari Indonesia. Taufik Rahman namanya. Beliaulah yang menulis novel Munajat Cinta. Setakat ini beliau sudah menghasilkan 120 buah cerita. Bertugas sebagai pensyarah universiti di Indonesia. Beliau menyatakan "Usah dicari ilham itu. Ilham itu bersifat suci dan datangnya daripada Allah S.W.T. Semakin kita cari ilham itu maka semakin tidak keruan kita jadinya. Semakin banyak kita menulis maka semakin banyaklah ilham yang datang, insyaAllah. Untuk menulis maka disarankan kita berwudhu dan berdoa serta hindari diri daripada melakukan sebarang dosa kecil mahupun dosa besar." Usah kita lalai atau melambatkan sembahyang kerana itu dengan sendirinya menjarakkan diri kita dengan Allah S.W.T. Jika kita menyambillewakan sembahyang maka semakin sukar ilham itu untuk hadir ke dalam diri kita.

Benarlah kata Sasterawan Negara kita iaitu Datuk A Samad Said ketika melancarkan Novel Cinta Islami di PWTC iaitu 'semoga kehadiran Pak Taufik akan memantapkan bidang penulisan di negara ini'.

Pada 26.4.2009 saya telah diundang oleh PTS untuk mengikuti Majlis Pelancaran Novel Cinta Islami. Majlis ini telah diadakan di PWTC. Dua orang tetamu didatangkan khas dari Indonesia iaitu Pak Taufik dan Tere-Liye. Majlis ini telah dilancarkan oleh Datuk A Samad Said. Antara ucapan yang terkesan ialah semoga kehadiran tetamu ini memantapkan bidang penulisan di Malaysia. Taufik Rahman sedang popular dengan Novel Munajat Cinta manakala Tere-Liye terkenal dengan Bidadari-Bidadari Syurga. Dalam gambar di atas kelihatan Norhayati Ibrahim selaku moderator majlis sedang mewawancara Taufik Rahman dan Tere-Liye. Pak Taufik menyatakan ilham itu datang dari Pencipta dan bersifat suci. Pengarang harus menjauhkan diri dari melakukan dosa kecil mahupun besar kerana ini akan menyebabkan halangan terhadap ilham itu untuk hadir ke dalam diri pengarang. Tere-Liye pula menyatakan sebelum menulis maka disarankan untuk berwudhu. Tere-Liye sudah menulis 'terlalu banyak buku' tapi cuma 4 terbit setakat ini (itupun meletup-letup). Beliau tidak kisah sama ada buku beliau terbit atau tidak kerana tanggungjawab beliau hanya menulis. Terserah kepada penerbit untuk menerbitkannya atau tidak.