28 February 2010

BERAPAKAH NILAI SEORANG PENULIS?





Hati AR sungguh tersentuh apabila membaca hasil tulisan Abdullah Ngah dalam Berita Harian 27 Februari 2010. Tulisannya bertajuk "Penulis Terengganu bagaikan terpinggir di negeri kelahiran sendiri". Daripada lenggok penulisannya itu menggambarkan betapa sudah lama terbuku di hati penulis tentang layanan kelas kedua yang diberikan terhadap seniman bergelar penulis. Memang benar kata Abdullah Ngah adakah penulis akan dapat jaminan kesihatan dan membeli makanan dengan hanya diberikan sehelai sijil penghargaan yang boleh dibeli kertasnya dengan nilai 50 sen? Adakah tepukan gemuruh daripada hadirin dalam majlis itu mampu mengenyangkan anak bini penulis? Hakikatnya orang melihat penulis hebat dan kaya raya maklumlah sebab bukunya sudah diterbitkan tapai harus diingat iaitu jikalau hendak jadi kaya maka buku penulis itu harus dibeli....bukan percuma. AR sendiri mengalami nasib yang sama ketika berlangsungnya Pameran 1Malaysia tempohari. Bolehkan seorang pustakawan dari negeri kelahiran AR sendiri kata "boleh tak sumbangkan buku untuk perpustakaan negeri?". AR hanya tersenyum sahaja sebab malas hendak layan. Maksud sumbang buku itu ialah memberikan buku secara percuma. Kita menulis bersengkang mata dan mengerah minda serta keringat tapi senang-senang sahaja pegawai pustakawan ini minta secara percuma...adakah patut?

25 February 2010

Salam Maulidul Rasul

12 Rabiulawal Tahun Gajah. Itulah yang sering bermain di ingatan tatkala orang bertanya mengenai hari kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. AR hafal tarikh ini sejak di bangku sekolah rendah lagi. Tahun Gajah itu pun sebenarnya bersempena dengan peristiwa besar yang berlaku di tempat kelahiran junjungan kita. Ada orang membuat sambutan maulud dengan berarak biarpun ada yang berpendapat itu merupakan bidaah. AR bukan orang yang 'cukup pandai' untuk mengatakan sambutan ini sebagai bidaah tetapi sekurang-kurangnya fikirkanlah maksud bidaah itu dan mungkin ada betulnya juga pendapat tersebut. Bukankah elok sekiranya kita memperingati kelahiran junjungan kita ini dengan mengadakan syarahan dan merenung kembali apakah tujuan Allah S.W.T mengutuskan Nabi Muhammad S.A.W kepada umat manusia. Bangsa Arab ketika zaman jahilliyah sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup dan menganggap anak perempuan hanya menyusahkan hidup mereka nanti. Kedatangan Nabi Muhammad S.A.W membawa sinar baru dalam kehidupan. Islam dapat berkembang ke seluruh pelusuk dunia dan lihatlah akan sumbangan tamadun Islam dalam kehidupan manusia sejagat seperti sumbangan Ibnu Sina dan Al Farabi, . Begitu besar jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W dalam memastikan Islam dapat disampaikan kepada umat manusia. Maka menjadi tuntutan pula kepada umat Islam untuk mengisi ulang tahun kelahiran junjungan kita dengan perkara yang berfaedah ke arah memantapkan lagi rasa cinta kita terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.
"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang Rasul (Muhammad) itu kepadamu (membawa) kebenaran dari Tuhanmu, maka berimanlah kamu, itulah yang lebih baik bagimu. Dan jika kamu kafir, maka kekafiran itu tidak merugikan sedikit pun kepada Allah kerana sesungguhnya apa yang di langit dan di bumi itu adalah kepunyaan Allah S.W.T.
Surah an-Nisa':170

23 February 2010

Idea Kreatif, Novel dan Sate Ikan

Apabila hendak melahirkan sesebuah karya sastera maka perlu difikirkan juga apakah nilai tambah yang dapat disogokkan kepada masyarakat pembaca. Seseorang penulis memanglah dianugerahkan dengan kemahiran menulis oleh Allah S.W.T. Ia juga bolehlah disama ertikan dengan kemahiran melukis yang dianugerahkan kepada seseorang pelukis.Walaupun ada yang beranggapan bahawa menulis karya sastera itu untuk disogokkan kepada khalayak yang gemar membaca namun hakikatnya penulis bertanggungjawab untuk memberikan sumbangan idea agar dapat membantu masyarakat pembacanya berubah. Perubahan itu haruslah ke arah menjadi yang lebih baik. Idea untuk memberikan sesuatu perubahan kepada masyarakat itu kadang kala belum dieksperimenkan lagi. Ini bermakna penulis berisiko untuk mempersembahkan sesuatu yang mungkin akan menyebabkan kegagalan. Namun begitu sekiranya penulis membuat pembacaan, kajian dan selebihnya diserahkan kepada Allah S.W.T maka idea kreatif yang ditulis itu mungkin akan menjadi suatu titik tolak ke arah perubahan idea dalam masyarakatnya. Idea itu pula mungkin dapat membangunkan atau menjana ekonomi masyarakatnya itu. Apa yang ingin dikongsi oleh AR ialah novel Hanya Tuhan Yang Tahu yang terbit pada tahun 2008. Idea sate ikan dalam novel tersebut(lihat muka surat 246 dan 247) ditulis sekitar tahun 2005 yang mana AR sendiri pun tidak pasti betul atau tidak sate ikan keli akan dapat dikomersialkan. Idea itu datang secara spontan setelah melihat lambakkan ikan keli dalam pasaran Malaysia ketika itu (akibatnya harga ikan keli jatuh sehingga mencapai RM4.00 sekilo). AR ketika itu juga ada membaca mengenai fungsi MARDI dan secara tidak langsung cuba mengaitkan fungsi MARDI dalam membantu penternak ikan air tawar. Semalam ada pula keluar berita dalam Berita Harian mengenai Pengarah Perikanan Melaka yang cuba membantu penduduk Jasin mengkomersialkan sate ikan. Mungkin mereka (agaknya) tidak membaca novel Hanya Tuhan Yang Tahu tetapi persamaan idea ini adakah berlaku secara kebetulan? Wallahualam.

16 February 2010

Selamat Tahun Baru Cina


AR ingin ,mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada mereka yang meraikannya. Tahun ini merupakan tahun harimau. Harimau melambangkan ketangkasan. Cuti sempena Tahun Baru Cina ini AR ambil kesempatan untuk pulang ke kampung. Tepat jam 12.00 tengah malam maka kedengaran bunyi mercun. Saban tahun itulah yang berlaku tapi makin kurang kedengaran bunyi mercunnya berbanding sewaktu AR masih kanak-kanak dahulu. Sedar ataupun tidak maka inilah hakikatnya iaitu kita tinggal dalam masyarakat majmuk. Kita harus hormat menghormati antara satu sama lain. Masyarakat cina membakar mercun sebab itu adalah tuntutan adat mereka maka kita kenalah hormati. Perkara yang paling utama ialah setiap antara kita perlu tahu adat atau budaya yang diamalkan oleh kaum lain. Jikalau kita tahu akan adat dan amalan kaum lain maka AR percaya kita akan dapat hidup dalam keadaan harmoni. Keharmonian akan datang apabila tiada rasa curiga mencurigai. Sebagai orang Islam cuba-cubalah kita lihat Piagam Madinah bagaimana Nabi Muhammad S.A.W dahulu pernah menghadapi saat yang sama. Cuba lihat bagaimana Nabi Muhammad S.A.W menyelesaikannya. Bukankah Nabi Muhammad S.A.W itu merupakan rujukan kita?

11 February 2010

Novel Terbaru Jutawan 3R

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah S.W.T kerana jika diizinkanNya maka akan terbitlah satu lagi novel terbaru. Novel dalam Siri Usahawan Cilik ini mungkin akan berada di pasaran menjelang Pesta Buku Kuala Lumpur 2010 nanti. AR ingin berkongsi pengalaman ketika bertemu peminat. Cuba lihat dialog ini ketika AR berada di Dataran MPMB Ayer Keroh bersempena Pameran 1Malaysia tempohari.

Seorang ayah bersama anaknya menghampiri gerai PNM.
Ayah : Ina hendak beli novel ini?
Ina : (menggeleng kepala)
Ayah : Kenapa? Ayah bayarkan nanti. Pilih sahaja novel yang mana satu.
Ina : Novel Kerepek AF, Homestay Bayu dan Taman Botani, ini semua Ina sudah beli di kedai buku.
Ayah : (memandang AR) Novel yang lain ada?

Inilah yang menyemarakkan lagi hasrat AR untuk menghasilkan novel yang lain. Bukannya apa sebab rasa seronok melihat orang membaca dan menghayati novel kita. Sekurang-kurangnya kita memberikan sumbangan bermakna kepada pembaca. Untuk Novel Jutawan 3R nanti maka AR ingin membuat suatu kelainan. Tunggu dan lihat nanti apa kelainannya.

08 February 2010

Santai Temu Deklamasi Sajak 1Malaysia






Selepas aktiviti di Dataran MBMB maka hari berikutnya iaitu Ahad, AR mendeklamasi sajak di depan Istana Melaka. Pasti ramai tertanya-tanya di manakah letaknya Istana Melaka? Letaknya di Banda Hilir. Ramai pendeklamator yang hadir mewakili orang lama dan orang baru. Terima kasih kepada Cikgu Ahmad dan Cikgu Hassan yang mengundang AR untuk acara ini. Bukan selalu orang Melaka dapat peluang ini. 'Terima kasih daun keladi, bulan depan buat lagi'.

Program AR Bersama PNM Di Dataran MBMB






Alhamdulillah pada hari Sabtu, AR dapat berada di Dataran MBMB untuk menjayakan program Penulis Bersama PNM anjuran Kementerian Kebudayaan. Ramai pengunjung yang hadir. AR sampai sakit tekak melayan pengunjung untuk menerangkan mengenai novel terbaru AR bertajuk Kasih Seharum Manisah.AR perhatikan iaitu apabila disebut sahaja ungkapan keramat "buku ini saya tulis" maka 80% pengunjung terus sahaja membeli novel itu. Keadaan ini mungkin juga disumbangkan oleh tiada penulis lain ketika itu agaknya maka sebab itu tiada persaingan saat itu. Ramai juga pengunjung yang ingin mengikuti 'screen test' untuk novel Taman Botani Harapan. Ada juga yang berlakon bersama keluarga masing-masing dan ada juga bersama rakan-rakan yang hadir. Terima kasih AR ucapkan kepada petugas PNM terutama Cik Dilla, Hafizah dan rakan-rakan yang bersusah payah untuk menjayakan program ini.

03 February 2010

PAMERAN 1MALAYSIA DI DATARAN MBMB

AR diundang untuk menyertai Program Sesi Bersama Penulis di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (sebelah Jaya Jusco). Majlis ini dianjurkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. AR akan berada di boot Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Matlamat program ini ialah untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan membaca di samping mempromosikan karya dan hasil penulisan rakyat Malaysia kepada Masyarakat. Pameran 1Malaysia ini akan berlangsung selama 3 hari tetapi untuk program bersama AR, ia akan diadakan pada 6 Februari 2010 (Sabtu) bermula 2.30 petang hingga 5.30 petang. Tempatnya ialah di boot Perpustakaan Negara Malaysia. Kepada mereka yang ingin berlakon atau menunjukkan kebolehan membaca skrip dipersilakan hadir bersama (Skrip akan disediakan). Hadiah lumayan menanti anda. AR juga akan turun padang menjual buku hasil penulisan AR terutamanya Kasih Seharum Manisah. Kepada yang kelapangan apa kata hadir bersama keluarga ke sana.