25 June 2010

Jemputan Ke Majlis Pelancaran Novel AR




Pada 27.6.2010 jam 8.30 malam akan diadakan majlis pelancaran novel AR di Dataran Sungai Melaka. Majlis ini diadakan bersempena dengan Sambutan Pesta Sungai Melaka 2010. Majlis akan disempurnakan oleh Datuk Wira Othman Mohammad iaitu Speaker Kerajaan Negeri Melaka. Dua buah novel AR yang akan dilancarkan ialah 'Kasih Seharum Manisah' dan 'Jutawan 3R'. Antara pengisian program ini ialah persembahan program puisi "Suara Di Muara : Sungai Dan Pantai Di Hati Kita." Antara yang akan membacakan sajak ialah Dr. Hj Harun Kidam, Prof. Madya Dr. Samsudin Osman, Aladin Muhamad, Hj Borhan Md Zain, Md Nor Md Zam, kumpulan Nazam Durian Tunggal dan bacaan gurindam. Majlis ini diadakan dengan kerjasama PENAMA(Persatuan Penulis Melaka), DBP Wilayah Selatan, PERZIM, Jabatan Kebudayaan Melaka serta Perbadanan Pantai dan Sungai Melaka.

14 June 2010

Pameran Buku AR Di Menara Petronas




Kalau dahulu kita sering dengar cerita-cerita di awan biru. Benda yang berharga mesti berada di puncak gunung. Sebagai contohnya pokok herba yang boleh merawat raja cuma ada di atas puncak gunung itu sahaja. Dan sekarang ini apabila orang hendak membuat rumah maka mesti di kawasan tanah tinggi. Jikalau tidak dapat di puncak Gunung Ledang pun sekurang-kurangnya di atas kawasan bukit di Ampang, atau di Ulu Yam, Bukit Antarabangsa dan pelbagai tempat lagi. Apa yang pasti kawasan tanah tinggi merupakan kawasan idaman untuk sesuatu aktiviti. Apa yang ingin AR kongsikan bukanlah berkenaan dengan rumah di kawasan tanah tinggi. AR ingin kongsikan pengalaman AR sewaktu berjalan-jalan di Menara Berkembar Petronas. AR masuk ke sebuah kedai buku besar iaitu Kinokuniya di tingkat 4. Sedang AR membelek-belek buku di situ rupa-rupanya buku-buku hasil penulisan AR ada dijual di situ. Antara buku-bukuna ialah Kasih Seharum Manisah, Kerepek AF, Taman Botani Harapan, Jutawan 3R dan Homestay Bayu. AR cubalah ambil gambar buku-buku itu. "Maaf encik di sini tidak boleh ambil gambar," perlahan sahaja petugas berbangsa cina itu memberitahu. Nasib baiklah telefon bimbit AR tidak dirampas. Jadi jikalau tuan-tuan dan puan-puan atau adik-adik berjalan-jalan di Menara Berkembar Petronas itu bolehlah singgah melihat-lihat buku AR di Kedai Buku Kinokuniya.

10 June 2010

Kenapa Lelaki Lebih Parah Apabila Putus Cinta Berbanding Perempuan?

Lelaki diangggap sebagai manusia yang gagah dan kuat. Namun apabila berhadapan dengan persoalan cinta maka kesannya berbeza. Kenapakah lelaki lebih menderita apabila berhadapan dengan persoalan putus cinta berbandng dengan perempuan? Inilah persoalan yang terjadi dan dialami oleh watak utama dalam novel terbaru yang ditulis oleh AR. AR telah menghantar manuskrip ini dua minggu lepas. Tadi AR bertanyakan kepada editor perolehan, alhamdulillah manuskrip itu sekarang ini sedang berada di tangan editor luar untuk diedit. Jikalau tiada aral melintang mungkin sebelum akhir tahun ini maka akan berada di pasaran. AR sebenarnya risau juga dengan apa yang AR tuliskan. Risau sebab memikirkan bahawa manuskrip itu membawakan bendera novel cinta islami. Tidak dinafikan setiap orang bercinta namun untuk membawa obor cinta islami di dalam novel yang ditulis agak sukar dan sangat mencabar. Semoga maksud yang tersurat dan tersirat di dalam novel ini nanti dapat ditanggapi pembaca kelak, insyaAllah. Doakanlah semoga novel ini akan dapat berada di pasaran pada masa yang ditetapkan tanpa menghadapi banyak masalah.

Kembar Jamal Seekor Buaya


Pagi tadi AR bersarapan di tepi laut. Jam 8.00 pagi AR sudah sampai ke Pantai Pengkalan Balak. Hajat di hati ingin menikmati angin pagi sambil menenangkan fikiran. Sambil makan roti telur dan minum nescafe tarik, AR memandang ke arah laut. Dua hari lepas heboh di dalam surat khabar mengenai orang pantai yang melihat 3 ekor ikan lumba-lumba (tidak pernah sepanjang 30 tahun yang diketahui ada ikan lumba-lumba di situ). AR bertanya kepada Kak Pah (bukan nama sebenar) mengenai kesahihan cerita ini. Kak Pah kata itu bukan ikan lumba-lumba tetapi buaya tembaga, ada 2 ekor buaya tembaga di situ. Katanya buaya tembaga ini berasal dari Sungai Rambai. Pada tahun 1978, seekor buaya telah ditembak mati. Buaya itu merupakan kembar kepada pak cik Jamal. Buaya itu kulitnya licin bersih ketika ditemui(sebenarnya orang ramai telah menegah buaya ini daripada ditembak tetapi pihak berkenaan tidak mahu dengar). Doktor telah cuba menjalankan bedah siasat (walaupun telah ditegah warisnya) tetapi tetap dijalankan juga dan doktor itu mati. Selepas itu berlaku ribut badai yang kuat melanda kawasan itu. Sekarang ini pak cik Jamal sudah tua dan kembarnya sudah tiada lagi tetapi suku sakatnya masih ada lagi. Jikalau waris pak cik Jamal ingin berkahwin dan apabila mendapat alamat di dalam mimpi maka pasangan pengantin itu perlu bersanding di tepi laut kerana warisnya (buaya) di dalam laut ingin melihat waris keturunannya berkahwin. Itu ikut kata Kak Pah yang telah lama berniaga di tepi pantai Pengkalan Balak.
Sebenarnya orang-orang di kawasan Masjid Tanah pernah dengar cerita ini. Pada suatu ketika dahulu ada ibu yang melahirkan anak kembar iaitu seorang manusia dan satu lagi buaya. Benarkah cerita perihal manusia dan buaya kembar ini?

08 June 2010

Kesan ARAK Dan JUDI Terhadap Penulis.

Judi: Siapa berbohong - Najib atau BERJAYA? Christine Chan | Jun 8, 10 1:14PM Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan bercanggah antara Kementerian Kewangan dan BERJAYA Corporation Bhd menimbulkan kontroversi mengenai siapa yang sebenarnya berbohong. (Malaysiakini.com)

Hakikatnya dalam Al Quran telah terang lagi nyata iaitu
"Mereka itu bertanya kepadamu (Ya Muhammad) darihal arak dan judi. Katakanlah; keduanya mengandungi dosa besar dan juga mengandungi berbagai manafaat kepada manusia. Dan dosa keduanya lebih besar daripada manafaatnya."(al-Baqarah:219)

Dalam sebuah hadis, orang yang hidupnya bergantung kepada hasil yang haram ini telah digambarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan sabdanya iaitu,
"Seorang yang berjalan jauh kusut rambutnya, berdebu bajunya, tangannya menadah ke langit (berseru minta dikasihi) Ya Rab! Ya Rab! sedang makannya dari hasil yang haram, minumnya dari hasil yang haram, pakaiannya dari hasil yang haram, dan diberi makan dengan hasil yang haram, manakan terkabul doanya."

Bahawa judi dan arak itu amat nyata sekali kesalahannya. Usahlah kita terkeliru dengan ungkapan-ungkapan lunak yang cuba menghalalkan judi dan arak. Sesungguhnya telah terang lagi nyata iaitu judi dan arak akan menyebabkan pelakunya mendapat dosa besar. Doa pelakunya tidak akan dimakbulkan Allah S.W.T. Cuba kita perhatikan kedai-kedai judi (kedai ekor bagi istilah orang kampung) yang kian bercambah serta kedai arak yang kian berleluasa (apabila 7 leven dan kedai-kedai seangkatan dengannya)dibuka 24 jam.

Cuba kita perhatikan pelanggan kedai ekor ini. Majoritinya orang Melayu yang mengaku Islam (kalau ada rasa malupun maka disuruh ejen yang biasanya orang tiga suku) untuk membelikan nombor ekor mereka. Dan cuba lihat rumah tangga mereka yang kacau bilau serta keadaan anak-anak mereka yang tidak menjadi, ini semua berpunca daripada terkena tahi judi.

Cuba kita lihat anak-anak muda melayu Islam yang berkumpul ramai-ramai. Sudah ada trend untuk anak-anak melayu ini minum arak (sebab boleh dibeli dengan mudah di kedai yang dinyatakan itu). Anak-anak muda belasan tahun inikah yang kita harapkan untuk menjadi pemimpin masa depan kita nanti?

Hakikatnya Yahudi sudah bertepuk tangan meraikan kejayaan mereka untuk memesongkan akidah anak-anak Islam. Pemimpin kita harus sedar. Pemimpin kita jangan mudah untuk 'gelap mata'. Ingat bahawa tanggung jawab anda harus dijawab di akhirat nanti. Kepada barisan penulis pula maka ingatlah akan peranan kita. AR teringat akan ceramah yang pernah disampaikan oleh Habiburrahman tahun lepas iaitu jikalau kita hendak menjadi penulis maka harus kita hindarkan daripada membuat dosa apatah lagi dosa besar. Kerana idea itu pancaran dari Ilahi yang amat suci sifatnya. Manakan dapat idea dan pertolongan daripada Allah S.W.T andainya kita terlibat dengan dosa-dosa ini.

05 June 2010

Hari Alam Sekitar Sedunia


Tanggal 5 Jun telah dipilih sebagai Hari Alam Sekitar Sedunia. Apakah signifikannya kita menetapkan hari ini sebagai suatu hari yang diiktiraf sebagai hari alam sekitar? Manusia dijadikan khalifah di muka bumi ini. Sebagai khalifah maka menjadi tanggung jawab kita untuk memastikan kelangsungan hidup yang baik buat makhlukNya. Ayat itu bukannya bermaksud kita merampas kuasa daripada Tuhan tetapi kita harus menyedari fungsi manusia. Kita harus sedar akan saling bergantungan antara makhluk di muka bumi ini. Ia bukan sekadar untuk memastikan harimau tidak pupus atau memastikan badak sumbu tidak berkurangan tetapi jauh daripada itu sebagai pengiktirafan bahawa manusia itu semulia-mulia makhluk Allah.
Jikalau kita renungkan apa yang kita lihat kepada alam persekitaran kita 30 tahun dahulu dan membandingkannya dengan keadaan pada masa sekarang maka nampak jelas akan perbezaannya. 30 tahun dahulu masih banyak kawasan hutan yang menghijau. Memanglah tanaman kelapa sawit pun menghijau juga tetapi tidak sama. Kadar serapan air oleh pokok kelapa sawit berganda banyaknya berbanding pokok spesies hutan lain dan sebagai akibatnya kawasan paya dan sungai yang dapat menampung air kian berkurangan. Akibatnya ekosistem kita terganggu. Bayangkanlah apa akan terjadi 30 tahun daripada sekarang andainya keadaan ini tidak diatasi. Mampukah kita melihat lagi akan hutan yang menghijau?
Tujuan Kempen Kitar Semula dilaksanakan adalah untuk menyelamatkan bumi. Malangnya program ini tidak mendapat sambutan yang menyeluruh. Sementara satu pihak berusaha menjayakan kempen ini tetapi ada pihak lain yang menggagalkannya. Kempen ini amat penting. Kita terpaksa memusnahkan hutan untuk mendapatkan kertas. Melalui program kitar semula kertas maka hutan dapat diselamatkan. Begitu juga dengan plastik, logam dan banyak lagi barangan yang boleh dikitar semula. Sekiranya semua pihak mengambil peluang untuk sama-sama turut serta menjayakan kempen ini maka kita optimis bahawa suatu hari nanti usaha anda ini akan dapat membuahkan hasilnya ke arah matlamat bumi hijau. AR berpendapat melalui Novel JUTAWAN 3R, kita akan dapat membentuk sikap prihatin terhadap alam sekitar di dalam jiwa anak-anak. Ingatlah bahawa alam ini adalah milik kita bersama maka sama-samalah kita menjayakan usaha ke arah menyelamatkan bumi yang kita cintai ini.

03 June 2010

Lain Ulu Lain Parang Lain Dulu Lain Sekarang.


SMDB terkenal dengan aktiviti pengakapnya. AR juga mengikuti aktiviti pengakap ini. AR banyak berkhemah sehingga ke jeram di hutan Asahan, Sagil, Pulau Besar, Tanjung Bidara, Pantai Kundur dan lain-lain lagi. Melalui aktiviti ini banyak pengalaman yang AR dapat timba. Mungkin pengalaman berkhemah ini tidak ramai yang peroleh pada masa sekarang. Melalui pengalaman-pengalaman ini maka AR dapat meluaskan pandangan dan pemahaman terhadap alam. Selain membaca buku maka AR juga kaya dengan pengalaman. AR teringat akan kata-kata sifu iaitu seeloknya buku pertama harus ditulis menggunakan pengalaman yang dekat dengan kita agar cerita kita hidup dan seolah-olah pembaca dapat mengikuti pengalaman ini. Itulah sebabnya hadir "Hanya Tuhan Yang Tahu".
Gambar ini menunjukkan perkhemahan pengakap sekitar tahun 1968. Cuba lihat bagaimana khemah yang didirikan suatu ketika dahulu.