24 July 2012

Masalah Manuskrip Kena Tambah Cerita

Inilah masalah sebahagian penulis, masalah besar! Cerita sudah siap, penulis sudah cuci tangan (kiranya tak nak taip lagi untuk cerita itu) tapi dah dekat 6 bulan cerita dihantar tiba-tiba editor suruh tambah cerita lagi. Inilah yang berlaku kepada AR sekarang ini.
Pada masa  sekarang AR sedang menyiapkan sebuah novel awal remaja. Layout sedang dalam proses, ilustrasi sudah siap dan sekarang ini editor cerita awal remaja sedang buat suntingan cerita yang sudah ditambah oleh AR. Nak dijadikan cerita, manuskrip lagi satu untuk novel  yang AR hantar 6 bulan dulu rupa-rupanya baru dibaca oleh seorang editor sebuah penerbitan dan dia minta AR tambah cerita. Hmm susah jugak sebab apa yang kita fikirkan dulu tak sama dengan apa yang AR fikirkan sekarang. Tapi kalau tak ditambah nanti penerbit itu tak nak terbitkan pulak. Inilah cabaran bagi penulis baharu dan rasanya cabaran ini tidak sama dengan penulis dahulu (orang dulu-dulu). Penulis lama biasanya tegas. Tapi pada pandangan AR jikalau saranan editor itu baik apa salahnya untuk kita ikut.
Walau bagaimanapun AR tidaklah berani hendak umumkan apa-apa kerana AR pun takut juga manalah tahu layout dah siap tapi tiba-tiba penerbit tak nak terbitkan karya kita. Hmm doakanlah semoga 2 karya AR ini dapat diterbitkan dengan mudah.

 (Gambar menunjukkan AR bersama rakan sebilik sewaktu Kursus Penulisan & Penerbitan ITBM, PENA & DBP di Pulau Pinang. Cikgu Amir Hamzah ini merupakan penulis Novel Kembara Amira yang terpilih sebagai teks KOMSAS Wilayah Utara)


20 July 2012

Selamat Menyambut Ramadhan al Mubarak

Alhamdulillah, dipanjangkan umur dapat kita mengecap sekali lagi nikmat yang tidak terhingga iaitu bertemu dengan Ramadhan yang mulia. Sedar atau tidak antara Ramadhan yang telah lepas dengan Ramadhan yang tiba ini telah ramai yang pergi meninggalkan kita. Ada antara mereka yang meninggal dunia itu dikatakan sudah tua, ada yang masih muda malahan ada juga kanak-kanak yang telah pergi mendahului kita. Kesimpulannya kematian tidak mengenal usia. Pada kesempatan Ramadhan yang kunjung tiba ini hendaknya sama-samalah kita pertingkatkan amal ibadat kita kepadaNya. Ibadat juga harapnya bukan hanya disempit kepada berpuasa dan sembahyang terawih semata-mata kerana konsep ibadat dalam Islam ini cukup luas. Menulis juga suatu ibadat. Selamat Berpuasa.

10 July 2012

Baca Puisi Di Rumah PENA- Di Ambang Ramadhan





Kebetulan AR ada program ke Bukit Mahkota pada petang Jumaat jadi pada malam Sabtu 6 Julai pergilah menyaksikan Malam Baca Puisi PENA-ITBM di Rumah Pena. Acara dijalankan secara santai dengan moderator yang mampu menghidupkan suasana. Antara yang membaca sajak ialah Sasterawan Negara KEMALA, Dr. A.Halim Ali (UPSI), Umar Sutong (orang veteran yang masih kuat semangatnya biarpun terpaksa bertongkat) dan lain-lain lagi. Biarpun dijalankan sebulan sekali namun pada AR acara ini amat penting. Acara ini penting untuk memberi pendedahan kepada penyair kita. Bukan senang nak tampil di hadapan pentas biarpun pentas terbuka. Sekurang-kurangnya acara ini dapat memberi pengalaman kepada pemuisi kita. Alangkah bagus jikalau acara ini ada di Melaka. Apa kata diadakan dua bulan sekali, sekurang-kurangnya orang Melaka boleh mengasah bakat terutamanya golongan muda. Jikalau tiada pendedahan bagaimanalah kita hendak bersaing dengan pemuisi dari seberang sana.

01 July 2012

Program Bersama Anak-Anak Yatim

Pada 1JULAI 2012, AR telah mengadakan program bersama anak-anak yatim di Taman Krubong, Melaka. Bukanlah tujuan AR untuk menunjuk-nunjuk tetapi dengan harapan ikhlas agar lebih ramai lagi membuat program bersama anak-anak yatim ini. Ingatlah rezeki yang kita peroleh sebenarnya untuk dikongsi bahagiannya untuk mereka yang benar-benar memerlukannya di luar sana. Program berlangsung selama lebih kurang 2 jam. Mulanya AR berkongsi pengalaman mengenai dunia penulisan sebab AR percaya mungkin ada bintang yang tersembunyi dalam kalangan anak-anak yatim ini. Kebiasaannya mereka yang berjaya dalam bidang penulisan ialah mereka yang pernah menghadapi saat kesusahan dalam hidup. Kesusahan inilah yang bakal mencetus suatu tenaga dalaman bagi memandu diri untuk menulis, itupun sekiranya mereka tahu bagaimana untuk menulis dan bagaimana untuk memastikan hasil yang ditulis itu sampai kepada pembaca. Biarpun anak-anak yatim ini masih di bangku sekolah rendah namun siapa tahu jikalau Allah SWT hendak membuka hati seseorang, 'kun fayakun', dengan takdirnya terbit rasa ingin menulis dalam diri anak-anak ini sehingga berjaya menjadi penulis tersohor suatu hari nanti, insyaAllah. AR beritahu anak-anak itu iaitu salah satu cara untuk berjinak-jinak dengan bidang penulisan sewaktu kecil ialah kena mulakan dengan penulisan diari hidup dan pastikan terbit rasa seronok dengan setiap pekerjaan yang kita ingin lakukan. Inilah mungkin panduan untuk si cilik bergiat dalam bidang penulisan. AR perhatikan dalam masyarakat kita memang ramai yang boleh bercakap panjang tetapi bila tiba saat menulis hmm... susah. Jadi kena biasakan menulis sewaktu kecil dan penulisan diari hidup mungkin sebagai langkah pertama.
Dalam majlis itu AR juga memberikan dua set buku AR iaitu satu untuk rumah anak-anak lelaki dan satu lagi untuk rumah anak-anak perempuan. Semoga mereka dapat membaca buku-buku AR itu dan tercetus pula cita-cita untuk menceburkan diri dalam bidang bisnes. Ini kerana empat buah buku AR bersama PTS berkisar mengenai usahawan cilik iaitu novel Taman Botani Harapan, Homestay Bayu, Kerepek AF dan Jutawan 3R.


AR telah dihiburkan dengan persembahan nasyid yang menyentuh perasaan. Sebuah lagu oleh anak-anak lelaki dan satu lagi daripada anak-anak perempuan. Terima kasih AR ucapkan dan ingatlah tiap-tiap kesusahan itu pasti akan disertai dengan kesenangan.